Friday, June 4, 2010

Sejarah Bahasa Melayu

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu

Thursday, June 3, 2010

Anak-anakku yang tercinta......

CONTOH TEKS SYARAHAN

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Bismillah, Alhamdulillah.

Terima kasih pengerusi majlis,
Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
seterusnya hadirin hadirat sekalian,

"Guru Berkualiti Menjana Insan Cemerlang"

Begitulah tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini, Sebelum saya melangkah dengan lebih jauh lagi, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya satu persatu.

Menurut Kamus Dewan, "Guru" bermaksud pendidik,pengajar atau pengasuh.
"Berkualiti" pula bererti bermutu tinggi. "Menjana" pula ditakrifkan sebagai menghasilkan manakala "Insan" pula merujuk kepada individu manusia
dan "Cemerlang" menurut kamus dewan lagi ialah kejayaan yang tinggi.
Dari definisi tadi jelaslah bahawa pendidik yang bermutu yang tinggi mampu melahirkan manusia yang terdiri daripada golongan "Al-Muflihun" atau mereka yang berjaya.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Kualiti guru yang pertama ialah melaksanakan tugas dengan sepenuh keikhlasan. Jasad yang digerakkan oleh keikhlasan kerana Allah S.W.T akan memampukan seorang guru menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.Segala usaha ini dilakukan untuk mendapat keredhaan Allah dan diserahkannya kepadaNya untuk dinilai.
Firman Allah S.W.T didalam surah Al-Bayyinah ayat 5,

Maksudnya: "Mereka tidaklah diperintahkan, melainkan supaya beribadat kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya".

Berhubung ayat ini, Imam Habib Abdullah Hadad mengulas bahawa tanpa keikhlasan maka perbuatan yang dilaksanakan adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
Sebagai contoh,lihat sahaja keihklasan guru yang mengajar di pedalaman. Kisah mereka dipaparkan di akhbar dan televisyen beberapa bulan yang lepas. Mereka terpaksa berjalan kaki,menaiki sampan malah ada yang terpaksa berenang untuk sampai ke sekolah. Niat mereka adalah ikhlas untuk mendidik anak bangsa supaya cemerlang,gemilang,terbilang. Jika tiada keikhlasan mana mungkin tugas ini sanggup dilakukan.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang kedua ialah berilmu. Tanpa ilmu, guru tidak mampu menyampaikan pelajaran dengan baik kepada murid-murid.
Sepertimana yang diungkapkan oleh hadis Nabi S.A.W dari riwayat Anas bin Malik dari "Majmu' Zawaid yang bermaksud;

"Sesungguhnya, orang yang berilmu di dunia ibarat bintang dilangit menjadi penunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut.

Hadis ini mengingatkan kita, bahawa guru yang berilmu mampu membimbing para murid ke arah kecemerlangan. Sesungguhnya, ilmu adalah ibarat bintang yang menunjuk arah kepada kita dalam belayar, tanpa ilmu hilanglah pedoman dan sesatlah arah.

Justeru itu, didalam memastikan para guru dilengkapi dengan ilmu mengajar maka setiap guru hari ini diberikan latihan terlebih dahulu di Institut-Institut Perguruan seluruh negara. Bahkan kerajaan juga turut menggalakkan para guru untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang ketiga ialah berhikmah didalam mendidik.Hikmah disini bererti bijaksana.
Allah berfirman didalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud
"Serulah mereka kejalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan contoh teladan yang baik".

Berhikmah disini merujuk kepada kreativiti pendakwah didalam mempelbagaikan cara dakwahnya agar sesuai dengan suasana semasa. Begitulah juga peranan guru yang berhikmah. Mencari dan menggunakan kaedah yang sesuai didalam mendidik.
Sebagai contoh, guru disaran oleh Kementerian Pelajaran untuk menggunakan teknologi multimedia bagi membantu pembelajaran para murid. Penggunaan teknologi adalah kaedah yang bijaksana dan merupakan langkah terbaik meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran

Kualiti guru yang keempat ialah berakhlak mulia. Guru sebagai ibu dan bapa di sekolah merupakan contoh teladan bagi murid. Justeru itu guru perlu terlebih dahulu berakhlak mulia sebelum dapat melahirkan murid yang berakhlak mulia. Sepertimana hadis Nabi S.A.W daripada riwayat Abu Ya'la yang bermaksud;

"Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan boleh mempengaruhi manusia dengan hartamu,maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan berbudi pekerti.

Jelaslah pada kita, bahawa akhlak mulia mampu merubah manusia sedangkan akhlak buruk yang dipamerkan oleh guru hanya mendatangkan kejelekan.
Lihat sahajalah bagaimana media massa memaparkan beberapa siri keganasan guru terhadap murid. Sikap panas baran dan melampau bukan akhlak yang mulia. Guru-guru terbabit bukan sahaja gagal mendidik , bahkan dicerca kerana tidak menunjukkan contoh yang baik



Kesimpulannya, guru berkualiti akan dapat melahirkan insan cemerlang dunia dan akhirat. Oleh itu sebagai guru marilah kita tingkatkan kualiti diri ke arah melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wabillhi taufiq wal hidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Wednesday, June 2, 2010

CONTOH JURNAL REFLEKSI

1. Data
Pada minggu ini , saya telah mengambil langkah lebih aktif dengan memperbanyakkan perbincangan bersama guru pembimbing En Abdul Raof bin Yunus untuk mengenal pasti masalah pelajar di dalam kelas. Hasil perbincangan saya telah merumuskan bahawa disiplin murid semasa P&P sangat penting bagi memastikan keadaan kelas terkawal dan objektif P&P tercapai. Saya telah menguatkuasakan arahan di dalam kelas dan mengubah tempat duduk murid terutamanya murid yang lemah dan bermasalah . Murid yang lemah dan bermasalah saya letakkan mereka di bahagian hadapan kelas untuk memudahkan saya membuat pemantauan semasa P&P dijalankan. Terdapat ramai guru Bahasa Melayu yang sentiasa memberi tunjuk ajar. AlhamduliIlah kerjasama daripada mereka sangat saya hargai.
2. Perhubungkaitan dan Perasaan
Bagi saya P&P akan lebih berkesan jika BBM yang disediakan sangat menarik. Langkah awal saya ialah dengan menyediakan lembaran kerja yang bersesuaian dengan tajuk bagi setiap hari. Alhamdulillah BBM yang saya hasilkan dapat menarik perhatian murid dan memudahkan sesi P&P . Pengawalan disiplin di dalam kelas masih kurang memuaskan hati saya. Saya belum lagi menemui ‘rentak’ yang sesuai dengan kelas 4 Mulia. Insyaallah saya akan cuba pelbagaikan kaedah pada minggu hadapan.
3. Membuat interprestasi

Saya mempelajari sesuatu nilai sepanjang minggu ini di mana cara melaksanakan P&P bukan semudah yang disangka. Dalam masa sejam hanya maksimum 3 objektif yang dapat disampaikan. Jadi pengagihan masa perlu dioptimumkan sebaik mungkin. Saya akan cuba menggunakan ruang masa dengan efektif supaya setiap minggu P&P mengikut rancangan yang disediakan. Kadang kala saya ingin mencuba sesuatu yang baru dengan mengalihkan tumpuan hanya pada buku teks, tetapi setakat ini saya masih belum dapat idea yang boleh diapliksikan dalam P&P. Insyaallah saya akan cuba sesuatu yang baru.

4. Keputusan
Pada pelajaran akan datang, saya akan mengajar semua mata pelajaran yang sepatutnya dengan mengambil tindakan-tindakan seperti berikut;
a. Memperbaiki set induksi agar lebih mengujakan murid.
b. Memperbanyakkan aktiviti berpasangan dan berkumpulan.
c. Memperbanyakkan aktiviti menjana idea dan sumbang saran oleh murid.
d. Pengawalan masa setiap aktiviti.
e. Memberi nasihat dan dorongan kepada murid
f. Memperbanyakkan kemahiran interpersonal iaitu bercakap di hadapan kelas.
Saya amat berharap dengan tindakan di atas, P&P akan lebih berkesan.
Sekian.

CONTOH RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

Tarikh : 22 Mac 2010
Masa : 30 minit
Tahun : 3 Bestari
Bilangan Murid :24 orang
Tema : Kekeluargaan
Tajuk : Keluarga Bahagia
Objektif : Pada akhir pelajaran murid-murid dapat;
1. Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan memahami perkara yang di baca.
2. Membaca teks dengan lancar.
Hasil Pembelajaran :
Fokus Utama : 6.0 Membaca dan memahami maklumat yang terdapat dalam pelbagai teks.
Aras 1 (i) : Mencari makna perkataan dan meneliti ejaan.
Fokus Sampingan : 1.2 Bertanya dan menjawab tentang sesuatu perkara secara bertatasusila.
Aras 1 (ii) Menyoal dengan menggunakan kata tanya.
Sistem Bahasa : Sebutan dan Intonasi( Ayat Penyata)
Pengisian Kurikulum : 1) Nilai murni ( kasih sayang, hormat-menghormati,
kejujuran, kesederhanaan).
2) KBT : Pembelajaran kontekstual.
Bahan Bantu Mengajar : 1) Petikan Bergambar
2) Slaid Video
3) Gambar Keluarga

Wednesday, January 20, 2010

Hasad - Memusnahkan Kebajikan

Hasad - Memusnahkan Kebajikan
Diantara penyakit-penyakit hati manusia yang amat berbahaya ialah hasad. Penyakit hasad atau dengki bisa membinasakan ketaatan seseorang dalam beragama dan membangkitkan segala kejahatan. Semua manusia bisa menjadi mangsa penyakit ini, tidak peduli apakah orang alim atau pun orang awam, apa lagi orang jahil. Orang yang mengidap penyakit ini bagaikan ditimpa bala yang dapat menyia-nyiakan usia dalam hidupnya di dunia ini dan seterusnya ke nerakalah dia di akhirat kelak.
Diriwayatkan, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:
"Ada enam golongan manusia dimasukkan ke neraka dengan enam sebab:
Orang-orang Arab karena asabiah mereka,
Raja-raja karena kezaliman mereka,
Para pemimpin karena ketakaburan mereka,
Para pedagang karena kecurangan mereka,
orang-orang awam karena kejahilan mereka
dan para ulama karena hasad atau dengki mereka."
Maksud "hasad" atau "dengki" itu ialah keinginan yang jahat supaya sesuatu nikmat Allah hilang dari seseorang yang beragama Islam. Lawannya hasad ialah "nasehat" yang bermaksud, mengharapkan nikmat Allah yang diperoleh oleh saudara seagama itu tetap berlanjut, kecuali sekiranya nikmat itu membawa kecelakaan kepadanya atau kepada hamba-hamba Allah yang lain.
Menurut ulama, diantara tanda-tanda orang yang berpenyakit hasad itu ialah:
a. Menunjuk-nunjukkan kasih di depan kita;
b. Mengumpat di belakang kita;
c. Senang hati atau tidak bersimpati apabila kita ditimpa kesusahan.
Akibat buruk dari penyakit hasad ialah:
a. Membinasakan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah Taala.
Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Hasad itu memakan kebajikan seperti api memakan kayu bakar."
b. Mendatangkan keluh-kesah dan dukacita.
c. Membawa kepada perbuatan maksiat.
d. Mata hati menjadi buta, sehingga tidak dapat memahami hukum-hukum Allah.
Sufyan al-Tsauri bersyair: "Jangan engkau menjadi pendengki supaya engkau cepat menangkap kefahaman (tidak buta mata hati)".
e. Diharamkan atau ditahan dari kebajikan dan tidak diberi taufik oleh Allah Taala.
Imam Khatimul-Asham bersyair: "Pendendam itu bukan orang beragama, pencaci itu bukan orang beribadat, dan pendengki itu bukan orang yang mendapat pertolongan".
Penyakit hasad dapat dicegah dengan cara:
a. Senantiasa mengingat kewajiban atau tanggung jawab muslim terhadap muslim dan seluruh muslimin, mengikuti prinip-prinsip ajaran agama Islam.
b. Menjalin kasih sayang (mahabbah), tolong menolong, bantu-membantu, nasehat-menasehati dan sebagainya antara satu sama lain di kalangan kaum muslimin/ muslimat.
c. Senantiasa menghormati hak mukmin / mukminah yang mendapat keistimewaan dan derajat yang tinggi dari Allah Taala.
d. Senantiasa mengharapkan syafaat dari mukmin di akhirat kelak.
Oleh sebab penyakit hasad itu begitu berbahaya, maka amat wajarlah hati yang terlibat segera diberi perawatan dan pencegahan. Dengan mengingat dan mempraktekkan amalan-amalan yang tersebut diatas, insya Allah, kita terselamatkan dari penyakit yang amat buruk akibatnya itu.

Sunday, December 20, 2009

Ciri-Ciri Wanita Solehah

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelar solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah swt. Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat saja iaitu :

  1. Taat kepada Allah dan RasulNya
  2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :

  1. Taat kepada Allah dan RasulNya
    Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah swt?
    1. Mencintai Allah swt dan Rasulullah saw melebihi dari segala-galanya.
    2. Wajib menutup aurat
    3. Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
    4. Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada bersamanya mahramnya.
    5. Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
    6. Berbuat baik kepada ibu & bapa
    7. Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
    8. Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
    9. Bersikap baik terhadap tetangga
  2. Taat kepada suami
    1. Memelihara kewajiban terhadap suami
    2. Sentiasa menyenangkan suami
    3. Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah.
    4. Tidak cemberut di hadapan suami.
    5. Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
    6. Tidak keluar tanpa izin suami.
    7. Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
    8. Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
    9. Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
    10. Sentiasa memelihara diri, kebersihan fisik dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.