Wednesday, June 2, 2010

CONTOH JURNAL REFLEKSI

1. Data
Pada minggu ini , saya telah mengambil langkah lebih aktif dengan memperbanyakkan perbincangan bersama guru pembimbing En Abdul Raof bin Yunus untuk mengenal pasti masalah pelajar di dalam kelas. Hasil perbincangan saya telah merumuskan bahawa disiplin murid semasa P&P sangat penting bagi memastikan keadaan kelas terkawal dan objektif P&P tercapai. Saya telah menguatkuasakan arahan di dalam kelas dan mengubah tempat duduk murid terutamanya murid yang lemah dan bermasalah . Murid yang lemah dan bermasalah saya letakkan mereka di bahagian hadapan kelas untuk memudahkan saya membuat pemantauan semasa P&P dijalankan. Terdapat ramai guru Bahasa Melayu yang sentiasa memberi tunjuk ajar. AlhamduliIlah kerjasama daripada mereka sangat saya hargai.
2. Perhubungkaitan dan Perasaan
Bagi saya P&P akan lebih berkesan jika BBM yang disediakan sangat menarik. Langkah awal saya ialah dengan menyediakan lembaran kerja yang bersesuaian dengan tajuk bagi setiap hari. Alhamdulillah BBM yang saya hasilkan dapat menarik perhatian murid dan memudahkan sesi P&P . Pengawalan disiplin di dalam kelas masih kurang memuaskan hati saya. Saya belum lagi menemui ‘rentak’ yang sesuai dengan kelas 4 Mulia. Insyaallah saya akan cuba pelbagaikan kaedah pada minggu hadapan.
3. Membuat interprestasi

Saya mempelajari sesuatu nilai sepanjang minggu ini di mana cara melaksanakan P&P bukan semudah yang disangka. Dalam masa sejam hanya maksimum 3 objektif yang dapat disampaikan. Jadi pengagihan masa perlu dioptimumkan sebaik mungkin. Saya akan cuba menggunakan ruang masa dengan efektif supaya setiap minggu P&P mengikut rancangan yang disediakan. Kadang kala saya ingin mencuba sesuatu yang baru dengan mengalihkan tumpuan hanya pada buku teks, tetapi setakat ini saya masih belum dapat idea yang boleh diapliksikan dalam P&P. Insyaallah saya akan cuba sesuatu yang baru.

4. Keputusan
Pada pelajaran akan datang, saya akan mengajar semua mata pelajaran yang sepatutnya dengan mengambil tindakan-tindakan seperti berikut;
a. Memperbaiki set induksi agar lebih mengujakan murid.
b. Memperbanyakkan aktiviti berpasangan dan berkumpulan.
c. Memperbanyakkan aktiviti menjana idea dan sumbang saran oleh murid.
d. Pengawalan masa setiap aktiviti.
e. Memberi nasihat dan dorongan kepada murid
f. Memperbanyakkan kemahiran interpersonal iaitu bercakap di hadapan kelas.
Saya amat berharap dengan tindakan di atas, P&P akan lebih berkesan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment